Tetamu Dari Gereja SAINT ANNE Bukit Mertajam.

Sejak kebelakangan ini kerap juga Masjid At Taqwa menerima kunjungan tetamu jauh dan dekat. Pagi ini Ahad 26hb Mac 2017 telah mencatat sejarah dan membuka medan baru kepada pengurusan masjid. Seramai 34 orang pelajar Sunday School dari Gereja St Anne, Bukit Mertajam telah mengadakan lawatan bertujuan untuk mengenali fungsi masjid , aktiviti yang dijalankan dan memahami serba sedikit tentang Islam.
Selepas mendengar taklimat tentang pentadbiran masjid dari Dato’ Pengerusi Qaryah , Bro. Reverant Lazarus pula tampil menjelaskan tujuan kunjungan mereka untuk memahami tentang Islam supaya masing masing dapat hidup harmoni. Sedikit penerangan tentang rukun Iman dan rukun Islam diharap dapat menjelaskan lagi pemahaman para peserta. Mereka ini terdiri dari para pelajar tingkatan 5 yang tekun menghadiri kelas di gereja. Berbangsa India dan Cina.
Berpeluang membawa mereka melihat persekitaran masjid termasuk pusat dylisis , Coopmart dan pusat kitar semula sebelum mereka melihat demonstrasi wudhu. Saudara Azman Merican membantu menerangkan tatacara berwudhu dan perkara yang membatalkan wudhu. Mereka berkesempatan melihat Tuan Imam 1, Ustaz Hj Ahmad Zawawi menunaikan solat sunat dan diterangkan juga bacaan serta pengertian ayat.
Manakala pelajar perempuan yang diketuai Puan Flora teruja diberi kesempatan memakai hijab yang disediakan. Sebelum zohor, mereka dibawa menikmati jamuan tengahari dan majlis bersurai sebaik azan zohor dilaungkan.
Pihak pengurusan masjid mengucapkan terima kasih kepada Sdr.Abdul Rahman , Hj.Azman Merican dan Sdr Kamal Khairul Anwar yang berurusan dengan pihak gereja bagi menjayakan program ini, juga di atas kesudian tetamu menjejak kaki ke masjid ini dan semua pihak yang berusaha menjadikannya kenyataan.
Meski singkat dan padat namun diharap penerangan yang mampu disampaikan dapat melekat kemas di minda dan hati mereka. Hidayah itu milik Allah, Dia berupaya membolak balik hati manusia dan doa kita ini adalah cetusan dan langkah permulaan untuk mereka mengenali keindahan deenul Islam dan seterusnya kembali ke dalam agama fitrah ini. Aamiin……….. Penulis : Puan Noorhayati Sidiqah